SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI SK BUKIT CHINA

Sejarah Sekolah



LATAR BELAKANG PENUBUHAN SEKOLAH

            Sekolah Kebangsaan Bukit China yang masih tersergam hingga ke hari ini telah menjangkau usia lebih kurang 71 tahun. Sekolah ini telah didirikan pada 2 Januari 1929 oleh kerajaan British yang menakluki Melaka pada ketika itu dengan tujuan memberi pendidikan menulis, membaca, dan mengira kepada anak-anak Melayu di Kampung Bukit China dan kawasan sekitarnya.

            Menurut Tuan Haji Hashim bin Datuk Demang Haji Abdul Ghani, Sekolah Kebangsaan Bukit China telah diusahakan penubuhannya oleh ayah beliau sendiri iaitu Datuk Demang Haji Abdul Ghani bin Haji Abdul Manan, JP. Yang pada ketika itu menjadi Demang Durian Daun.“Sekolah asalnya terpaksa ditutup kerana muridnya telah bertambah ramai,” jelas beliau lagi.
            Menurut Allahyarham Tuan Haji Hassan bin Haji Mohamad pula,  Sekolah Kebangsaan Bukit China sekarang adalah berasal dari cantuman dua buah sekolah.  Sekolah-sekolah tersebut ialah Sekolah Melayu (Agama) Bukit China yang terletak di Lorong  Bukit China dan Sekolah Melayu (Agama) Pengkalan Rama.

            “Guru Besar Sekolah Melayu(Agama) Lorong Bukit China pada masa itu ialah  Allahyarham Cikgu Abdullah yang menjadi Imam Surau Bukit China dan Guru Besar Sekolah Melayu (Agama) Pengkalan Rama pula ialah Allahyarham Cikgu Othman yang juga menjadi imam Masjid Pengkalan Rama,” jelas Allahyarham Tuan Haji Hassan.

Kesahihan cerita sejarah di atas telah diakui oleh orang-orang tua Kampung Bukit China.

BANGUNAN SEKOLAH

            Bangunan Sekolah Kebangsaan Bukit China yang didirikan pada tahun 1929, berbentuk “U” masih kekal hingga ke hari ini. Bangunan ini separuh batu dan separuh kayu. Atap bangunan ini atap genting. Bahagian bawah bangunan ini tidak berkepung.  Papan hadang digunakan untuk memisahkan antara satu darjah dengan darjah yang lain.

            Kelengkapan bilik darjah terdiri daripada papan hitam berkaki, sebuah almari, meja guru, kerusi guru, meja panjang murid dan bangku panjang murid yang boleh diduduk oleh dua orang murid.  Pada masa itu tidak ada pejabat sekolah dan bilik Guru Besar.  Bersama dengan bangunan sekolah ini didirikan juga 4 buah rumah guru.

            Pada 14 Mac 1964, sekolah ini mendapat bangunan tambahan dua bilik darjah dan sebuah pejabat.  Bangunan ini telah dirasmikan oleh Y.A.B Encik Abdul Ghafar bin Baba yang pada ketika itu menjadi Ketua Menteri Melaka.

            Pada awal tahun 1977, sekolah ini mendapat tambahan sebuah bangunan baru berharga RM 170,000.00.  Bangunan ini telah dibuka dengan rasminya pada 6 November 1977 oleh Datuk Setia Haji Abdul Ghani bin Ali yang pada ketika itu menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka.

KAWASAN SEKOLAH

             Sekolah Kebangsaan Bukit China terletak di kawasan seluas 4 ac. Ir. 24.2p. Tanah ini asalnya milik Demang Haji Abdul Ghani bin Haji Abdul Manan, JP. Selain dari bangunan berbentuk “U” dan rumah guru di dirikan di kawasan sekolah ini pada peringkat awalnya, terdapat juga sebuah padang permainan dan kebun pertanian untuk kegunaan murid-murid sekolah pada ketika itu.

            Pada tahun 1958, sebahagian daripada padang sekolah ini telah di ambil oleh Jabatan Pelajaran Melaka untuk di dirikan Asrama Murid-murid Lelaki Sekolah Menengah .  Bangunan asrama ini telah di robohkan pada akhir tahun 1982 bagi tujuan membina sebuah padang untuk murid-murid sekolah ini.  Pada tahun  1988, padang sekolah ini telah siap dibina.
  
MURID-MURID
           
             Sekolah ini bermula pada tahun 1929 dengan bilangan murid seramai 100 orang.  Namun  begitu pertambahan murid mula berlaku pada setiap tahun kerana kesedaran ibu bapa terhadap perlunya pendidikan kemahiran menulis,  membaca dan mengira kepada anak-anak mereka.  Pada tahun 1966 , jumlah murid sekolah ini meningkat kepada 700 orang.  Selepas itu jumlah ini semakin menurun lantaran berlakunya pembangunan dan bertambahnya bilangan sekolah.

             Pencapaian murid sekolah ini hingga ke darjah 6 sahaja pada tahun 1929 .  Manakala pada tahun 1955 murid diberi peluang belajar hingga ke darjah 7.  Apabila mereka berjaya dari sekolah ini akan di lantik menjadi guru sekolah rendah (Guru Latihan Normal) .  Namun begitu ada juga murid sekolah ini yang dapat melanjutkan pelajaran mereka ke Kelas Khas Melayu (Special Malay Class) dengan menggunakan bahasa pengantar Bahasa Inggeris.  Pada tahun 1957 murid-murid yang lulus peperiksaan darjah 6 akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah yang menggunakan bahasa pengantar Bahasa Melayu.  Pada hari ini semua murid yang tamat darjah 6 dengan sendiri mereka layak untuk melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah menengah.